Teknologi bukan sahaja penting dalam kehidupan seharian malah
diperlukan dalam pendidikan bagi memastikan keberkesanan proses PdPc. Dasawarsa
ini, masyarakat telah didedahkan kepada inovasi baru dalam teknologi sejajar
dengan perkembangan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21). Menurut Whitehead, Jensen
dan Boschee (2003), pengajaran yang berintegrasikan teknologi dapat
meningkatkan pembelajaran koperatif, meningkatkan integrasi kurikulum,
mempelbagaikan strategi pembelajaran, meningkatkan komunikasi guru, perhubungan
masyarakat serta pembelajaran secara global.
Roblyer dan Doering (2010) telah mengasaskan Technology
Integration Planning (TIP) yang menjadi panduan dalam perancangan
pengintegrasian teknologi dalam PdPc. Setiap fasa dalam model ini menggariskan
langkah-langkah perancangan dan pelaksanaan bagi memastikan penggunaan
teknologi akan menjadi lebih efisien dan berjaya memenuhi keperluan. Para guru
yang berpengalaman dalam menggunakan teknologi akan berasa mudah untuk melalui
semua langkah ini berbanding guru-guru baru atau mereka yang baru setahun
jagung dalam penggunaan teknologi dalam pengajaran mereka. Oleh hal yang
demikian, model TIP menyediakan satu panduan khusus serta berguna tentang
langkah-langkah dan isu-isu untuk ditangani bagi mereka yang baru hendak
belajar pengintegrasian teknologi dalam PdPc. Model TIP yang ditunjukkan dalam
Rajah 1, memberi manfaat dan satu pendekatan umum kepada para guru untuk
menangani cabaran yang melibatkan penggunaan teknologi dalam PdPc.

Rajah 1: Model Technology Integration Planning (TIP)
(Roblyer dan Doering, 2010).
Pada fasa pertama iaitu mengenal pasti kelebihan teknologi,
guru-guru perlu mengenal pasti teknologi yang dapat digunakan bagi
menyelesaikan masalah pengajaran semasa mereka. Guru juga perlu mengambil kira
kos, masa serta tenaga yang diperlukan untuk pengintegrasian teknologi tersebut
dalam PdPc. Seterusnya, fasa kedua iaitu menentukan objektif dan penilaian,
guru hendaklah menulis hasil pembelajaran bagi sesi pengajaran berkenaan.
Objektif pengajaran boleh ditentukan dengan berpandukan kepada huraian sukatan
pelajaran subjek berkenaan. Objektif pengajaran yang baik mestilah dapat
dinilai dan diukur.
Pada fasa ketiga iaitu merekabentuk integrasi, para guru
hendaklah menentukan kemahiran yang akan dikuasai pelajar dari penggunaan
teknologi dalam mata pelajaran dan seterusnya mempertimbangkan keberkesanan
aktiviti yang telah dijalankan. Selanjutnya, fasa keempat iaitu menyediakan
persekitaran instruksional. Dalam fasa ini, guru-guru memerlukan perancangan
yang rapi bagi perlaksanaan PdPc sama ada dari segi perkakasan yang mecukupi
atau masa yang mencukupi mahupun keperluan untuk pelajar bermasalah. Fasa
terakhir dalam Model Technology Integration Planning (TIP) iaitu penilaian dan
semakan strategi integrasi ini memerlukan guru untuk mengkaji semula hasil maklumat
mengenai kaedah-kaedah integrasi dalam teknologi serta menentukan perkara yang
perlu diperbaiki pada masa hadapan. Bukan sahaja mengumpul data formal mengenai
pengajaran, kebiasaannya para guru akan menemu bual serta meminta pendapat
pelajar tentang perkara yang boleh ditambah baik.
Tuntasnya, penyelidik akan melihat tiga fasa yang terdapat
dalam model ini iaitu fasa mereka bentuk integrasi, menyediakan persekitaran
instruksional, serta penilaian dan semakan strategi integrasi terhadap amalan
pengintegrasian teknologi dalam PdPc agar pengajaran lebih berkesan dan
pembelajaran lebih bermakna.
RUJUKAN
Roblyer, M. D.,
& Doering, A. H. (2010). Integrating Educational
Technology into Teaching. Fifth Edition.
Person: Allyn &
Bacon. Diperolehi pada 6 Nov 2019
daripada
Whitehead, B.
M., Jensen, D. F. N., & Boschee, F. (2003). Planning
for technology: A guide for school
administrators, technology
coordinators, and curriculum leaders. USA:
Corwin Press.
MUAT TURUN