Model Pengajaran TIP

Teknologi bukan sahaja penting dalam kehidupan seharian malah diperlukan dalam pendidikan bagi memastikan keberkesanan proses PdPc. Dasawarsa ini, masyarakat telah didedahkan kepada inovasi baru dalam teknologi sejajar dengan perkembangan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21). Menurut Whitehead, Jensen dan Boschee (2003), pengajaran yang berintegrasikan teknologi dapat meningkatkan pembelajaran koperatif, meningkatkan integrasi kurikulum, mempelbagaikan strategi pembelajaran, meningkatkan komunikasi guru, perhubungan masyarakat serta pembelajaran secara global.

Roblyer dan Doering (2010) telah mengasaskan Technology Integration Planning (TIP) yang menjadi panduan dalam perancangan pengintegrasian teknologi dalam PdPc. Setiap fasa dalam model ini menggariskan langkah-langkah perancangan dan pelaksanaan bagi memastikan penggunaan teknologi akan menjadi lebih efisien dan berjaya memenuhi keperluan. Para guru yang berpengalaman dalam menggunakan teknologi akan berasa mudah untuk melalui semua langkah ini berbanding guru-guru baru atau mereka yang baru setahun jagung dalam penggunaan teknologi dalam pengajaran mereka. Oleh hal yang demikian, model TIP menyediakan satu panduan khusus serta berguna tentang langkah-langkah dan isu-isu untuk ditangani bagi mereka yang baru hendak belajar pengintegrasian teknologi dalam PdPc. Model TIP yang ditunjukkan dalam Rajah 1, memberi manfaat dan satu pendekatan umum kepada para guru untuk menangani cabaran yang melibatkan penggunaan teknologi dalam PdPc.


Rajah 1: Model Technology Integration Planning (TIP) (Roblyer dan Doering, 2010).

Pada fasa pertama iaitu mengenal pasti kelebihan teknologi, guru-guru perlu mengenal pasti teknologi yang dapat digunakan bagi menyelesaikan masalah pengajaran semasa mereka. Guru juga perlu mengambil kira kos, masa serta tenaga yang diperlukan untuk pengintegrasian teknologi tersebut dalam PdPc. Seterusnya, fasa kedua iaitu menentukan objektif dan penilaian, guru hendaklah menulis hasil pembelajaran bagi sesi pengajaran berkenaan. Objektif pengajaran boleh ditentukan dengan berpandukan kepada huraian sukatan pelajaran subjek berkenaan. Objektif pengajaran yang baik mestilah dapat dinilai dan diukur.

Pada fasa ketiga iaitu merekabentuk integrasi, para guru hendaklah menentukan kemahiran yang akan dikuasai pelajar dari penggunaan teknologi dalam mata pelajaran dan seterusnya mempertimbangkan keberkesanan aktiviti yang telah dijalankan. Selanjutnya, fasa keempat iaitu menyediakan persekitaran instruksional. Dalam fasa ini, guru-guru memerlukan perancangan yang rapi bagi perlaksanaan PdPc sama ada dari segi perkakasan yang mecukupi atau masa yang mencukupi mahupun keperluan untuk pelajar bermasalah. Fasa terakhir dalam Model Technology Integration Planning (TIP) iaitu penilaian dan semakan strategi integrasi ini memerlukan guru untuk mengkaji semula hasil maklumat mengenai kaedah-kaedah integrasi dalam teknologi serta menentukan perkara yang perlu diperbaiki pada masa hadapan. Bukan sahaja mengumpul data formal mengenai pengajaran, kebiasaannya para guru akan menemu bual serta meminta pendapat pelajar tentang perkara yang boleh ditambah baik.

Tuntasnya, penyelidik akan melihat tiga fasa yang terdapat dalam model ini iaitu fasa mereka bentuk integrasi, menyediakan persekitaran instruksional, serta penilaian dan semakan strategi integrasi terhadap amalan pengintegrasian teknologi dalam PdPc agar pengajaran lebih berkesan dan pembelajaran lebih bermakna.


RUJUKAN

Roblyer, M. D., & Doering, A. H. (2010). Integrating Educational 
            Technology into Teaching. Fifth Edition. Person: Allyn & 
            Bacon. Diperolehi pada 6 Nov 2019 daripada 

Whitehead, B. M., Jensen, D. F. N., & Boschee, F. (2003). Planning 
            for technology: A guide for school administrators, technology 
            coordinators, and curriculum leaders. USA: Corwin Press.


MUAT TURUN

0 comments:

Post a Comment